KOTA KINABALU: Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu akan menyambung keterangannya pada hari kedua inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner, di sini, pada Khamis.
Beliau dijangka menjawab pertanyaan Pegawai Pengendali dari Jabatan Peguam Negara (AGC), selain soalan pihak berkepentingan, khususnya ibu dan bapa arwah Zara Qairina melalui peguam masing-masing.
Peguam mewakili lima tertuduh remaja yang berdepan pertuduhan buli di Mahkamah Kanak-Kanak juga dijangka mengemukakan soalan.
Pada prosiding semalam, Dr Jessie menjelaskan berdasarkan pemeriksaannya, kecederaan yang dialami arwah Zara konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.
Beliau juga mendedahkan tidak mungkin arwah jatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari koridor di tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama pada awal pagi 16 Julai lalu.
Perkara itu, katanya berdasarkan pemeriksaan lokasi dan perbandingan ketinggian mangsa dengan ketinggian pagar konkrit koridor yang tidak memungkinkan arwah terjatuh sendiri atau ditolak.
Ketika prosiding semalam, Dr Jessie turut menunjukkan 172 keping gambar yang diambil ketika bedah siasat jenazah arwah Zara Qairina pada 10 Ogos lalu bagi menjelaskan kecederaan yang dialami arwah Zara.
Prosiding hari ini dijangka menyambung penjelasan Dr Jessie mengenai kecederaan dan penemuan ketika bedah siasat terhadap jenazah arwah Zara Qairina yang dijalankan pada 10 Ogos lalu. – Info X