Search

Inkues kematian Zara: Berat arwah 53 kg, tidak mungkin mesin basuh boleh hidup – Dr Jessie

September 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tidak mungkin mesin basuh boleh dihidupkan jika seseorang dengan berat 53 kg dimasukkan ke dalamnya.

Perkara itu dinyatakan Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu pada inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner, pada Khamis.

Katanya, beliau tidak percaya mesin basuh boleh dihidupkan jika seseorang dengan berat 53 kilogram (kg) dimasukkan ke dalamnya.

“Saya tidak memeriksa saiz tong, tapi saya diberitahu berat arwah ialah 53 kilogram. Saya tidak tahu berat 53 kilogram boleh muat dalam mesin basuh itu. Tapi, saya tidak percaya ia boleh dihidupkan dengan berat 53 kilogram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad selaku Pegawai Pengendali inkues mengenai kemungkinan Allahyarham Zara Qairina Mahathir dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Dr Jessie mengakui beliau melihat ada mesin basuh di tingkat bawah asrama yang diduduki arwah Zara Qairina ketika pemeriksaan lokasi penemuan arwah Zara Qairina sebelum ini tetapi beliau tidak memeriksa saiz peralatan itu.

Katanya, mesin basuh yang dilihatnya ialah untuk kegunaan domestik dan bukannya untuk kegunaan industri, namun tidak pasti berapa jumlahnya. – Info X