Search

Inkues kematian Zara: Demonstrasi guna patung dijangka petang ini

September 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, dijangka lebih jelas apabila sesi demonstrasi menggunakan patung (mannequin) dilakukan di Mahkamah Koroner, di sini, sekitar jam 2 petang nanti.

Peguam bela, Datuk Ram Singh berkata, keluarga arwah bersama Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, sudah memutuskan untuk menggunakan patung bagi membantu menunjukkan semula situasi penting ketika arwah didakwa melompat atau berlari sebelum insiden berlaku.

“Penggunaan patung lebih sesuai kerana ada satu kejadian penting ketika Dr Jessie cuba membuat demonstrasi melompat dan berlari. Itu perlu ditunjukkan dengan lebih tepat.

“Apabila kami mempunyai ruang untuk bertanya soalan, kami akan lakukannya. Paling tidak, kita dapat menyelesaikan soal penjelasan daripada Dr Jessie hari ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan mahkamah, hari ini.

Menurutnya, selepas demonstrasi itu, pihaknya bersama keluarga arwah dan Dr Jessie dijangka ke lokasi kejadian bagi mendapatkan gambaran lanjut sebelum sebarang soalan tambahan dikemukakan.

Ram Singh berkata, penjelasan Dr Jessie bersama demonstrasi patung itu penting kerana ia bukan sahaja membantu mahkamah, malah memberi kefahaman jelas kepada masyarakat.

Beliau turut memaklumkan isu berkaitan mesin basuh sudah diselesaikan, manakala isu bau yang sebelum ini diperkatakan akan diperjelaskan oleh Dr Jessie. – Info X