Search

Inkues kematian Zara: Dr Jessie guna patung tunjuk lokasi kecederaan di tubuh arwah

September 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu menunjukkan kecederaan dialami Allahyarham Zara Qairina Mahathir menggunakan patung yang dibawa peguam di Mahkamah Koroner, pada Khamis.

Ia membabitkan kecederaan luaran dan dalaman bermula dari pergelangan kaki hingga belakang kepala arwah ketika pemeriksaan selepas ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama pada awal pagi 16 Julai lalu.

Berdasarkan lokasi ditunjukkan Dr Jessie pada patung, kecederaan atau lebam di tubuh arwah dikesan di belakang kepala, pergelangan tangan, jari dan tapak tangan kiri, belakang tangan dan siku kiri, pergelangan kaki kanan serta kaki kiri.

Beliau turut menunjukkan lokasi kecederaan dalaman yang dikesan di bahagian tulang belakang, selain ada kesan lebam di bahagian hadapan badan.

Jelasnya, arwah mengalami dua impak akibat jatuh bermula dengan kecederaan di bahagian kaki, disusuli kecederaan di belakang kepala dan tangan kiri melalui impak kedua.

Ketika jatuh, katanya kaki arwah mencecah tanah terlebih dahulu dan impak pertamanya menyebabkan kecederaan bermula pada bahagian kaki dan ke atas.

“Selepas itu dia rebah ke kiri badan menyebabkan impak kedua, cedera di pergelangan tangan kiri dan belakang kepala,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan peguam mewakili ibu arwah Zara Qairina, Rizwandean M Borhan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan ketika prosiding inkues petang tadi.

Pihak peguam sebelum itu meminta kebenaran Koroner untuk menggunakan patung berkenaan yang dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan gambaran lokasi kecederaan pada anggota tubuh arwah Zara Qairina. – Info X