KOTA KINABALU: Pasukan peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir mahu pelbagai bidang dan keterangan saksi perlu dipertimbangkan dalam inkues kematian arwah yang memasuki hari kedua, hari ini.
Peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, berkata ia bukan saja berkaitan bedah siasat, malah aspek ‘biomekanik’, iaitu satu kajian berkaitan daya yang bertindak ke atas tubuh manusia.
“Bukan sahaja dari segi bedah siasat, tetapi juga dari aspek ‘biomekanik’, iaitu bidang khusus yang dapat membantu Koroner memahami lebih mendalam bagaimana arwah meninggal dunia,” katanya ditemui pemberita selepas selesai inkues di Mahkamah Koroner pada Khamis.
Inkues yang bermula semalam itu menyaksikan Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu memberi keterangan berdasarkan laporan bedah siasat dan juga hasil lawatan tapak ke sekolah arwah pada 2 Ogos 2025.
Sementara itu, Syarulnizam berkata sesi soal jawab daripada pasukan peguam ibu arwah Zara Qairina akan ditangguhkan sementara.
“Ini kerana kami masih menunggu dokumen rekod perubatan serta sesi lawatan tapak yang dijadualkan pada Khamis, 11 September ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya mengelak membuat sebarang kenyataan yang boleh mempengaruhi keputusan mahkamah.
“Kami mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam memberi komen, sama ada di media atau media sosial demi menjaga perasaan ibu bapa Zara yang masih mengikuti prosiding ini dengan penuh emosi,” katanya.
Dalam hal berkaitan, beliau berkata pihaknya baru menerima laporan bedah siasat arwah semalam dan masih menunggu akses kepada dokumen lain, termasuk imbasan tulisan tangan diari yang berkaitan, untuk penelitian lanjut.
Mengenai ibu arwah, katanya pasukan peguam berhubung rapat dengannya, namun beliau perlu diberi ruang agar dapat mengurus emosi dan kehidupannya.
“Kehadiran beliau di mahkamah tidak diwajibkan setiap hari kerana kami, pasukan guaman, mewakili pihak keluarga.
“Kami juga ingin mengingatkan masyarakat supaya peka dengan sensitiviti keluarga ini, kerana liputan berita yang tidak tepat boleh menimbulkan kesan emosi yang mendalam,” katanya. – Info X