KOTA KINABALU: Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu menyerahkan kepada Mahkamah Koroner untuk menentukan sama Allahyarham Zara Qairina Mahathir jatuh kerana membunuh diri, atas kehendak sendiri atau bukan.
Perkara itu dinyatakan beliau ketika menjawab pertanyaan peguam Datuk Ram Singh pada prosiding inkues petang tadi.
Ram Singh bertanya, jika bukan disebabkan kemalangan atau ditolak, ketika berdiri atau duduk di palang besi, adakah kemungkinan arwah jatuh atas kehendak sendiri.
Beliau turut bertanya definisi yang boleh digunakan dalam situasi itu, sama ada ia bunuh diri atau sebaliknya.
Kedua-dua pertanyaan itu dijawab Dr Jessie dengan menyatakan terserah kepada mahkamah untuk menentukan.
Pertanyaan itu mengakhiri prosiding inkues membabitkan Dr Jessie pada hari ini.
Inkues kematian Zara dijadual disambung semula pada Isnin depan dengan saksi dari Jabatan Kimia dijangka dipanggil memberi keterangan. – Info X