SEMPORNA: Tular sebuah video memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di Pulau Timba-Timba, dipercayai berpunca daripada kutipan bayaran mendarat atau ‘landing fee’.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.56 malam, 3 September lalu, seorang pengurus syarikat pelancongan berusia 27 tahun mendakwa diserang beberapa individu ketika membawa sekumpulan pelancong ke pulau berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Jaafar Hakim berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan itu berlaku susulan pertikaian kutipan yuran mendarat.
“Pengadu memaklumkan syarikatnya sudah membuat bayaran kepada sebuah syarikat yang menguruskan kutipan ‘landing fee’.
“Namun, ketika mendarat, dia diminta pula oleh syarikat lain untuk melunaskan bayaran sama.
“Pertikaian itu akhirnya bertukar menjadi pergaduhan sebelum video kejadian tersebar luas di media sosial,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pergaduhan itu mencemarkan imej Semporna sebagai destinasi pelancongan popular, selain menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pelancong.
“Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Setakat ini, tiga suspek warga tempatan berusia antara 25 hingga 27 tahun sudah ditahan,” katanya.
Jaafar turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung insiden berkenaan yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta menjejaskan reputasi Semporna sebagai daerah pelancongan selamat.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh akibat kutipan “landing fee” di Pulau Timba-Timba, Semporna.
Pergaduhan berkenaan turut disaksikan pelancong yang berada di lokasi hingga ada antara mereka kelihatan panik dan cuba menjauhkan diri. – Info X