KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan Datuk Dr Yusof Yacob mengesahkan telah membuat permohonan untuk menyertai Barisan Nasional (BN).
Katanya, permohonan itu telah diserahkan kepada Pengerusi BN Sabah Datuk Bung Moktar Radin dan beliau menyerahkan kepada parti itu untuk membuat keputusan.
“Memang kehadiran saya di sini (majlis Aidilfitri anjuran BN Sabah) adalah untuk meraikan hari raya bersama-sama dan pada masa sama menyampaikan hasrat saya (menyertai BN).
“Sebelum ini saya sudah suarakan untuk menyokong GRS (Gabungan Rakyat Sabah), sokong PM (perdana menteri), soal parti itu saya serahkan kepada Bung.
“Kita tunggu masanya lah (pengumuman rasmi), kita harus lupakan yang lalu dan melihat ke hadapan…kita harus memikirkan masa depan Sabah dan generasi muda kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis Aidilfitri BN Sabah yang turut dihadiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Hajiji Noor, di sini, hari ini.
Sementara itu, Bung ketika ditemui mengesahkan menerima borang permohonan daripada Yusof dan berkata akan mengumumkan mengenainya dalam masa terdekat ini.
“Sampai masanya sudah (Yusof menyertai BN), nanti kita umum satu dua hari lagi,” katanya. – Info X