Search

5 penuntut IKM maut, MPV bertembung treler

September 5, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Lima penuntut Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu, terbunuh dalam kemalangan di Simpang Pusat Latihan Rela, Jalan Sulaman, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dinaiki kelima-lima mangsa dari arah Sepanggar menuju ke Kota Belud.

Sebaik tiba di lokasi kejadian kenderaan dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah treler muatan batu kerikil.

Akibat kejadian itu, semua mangsa yang menaiki Toyota Wish tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas ‘rescue tools’.

Semua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Lima penuntut IKM Kota Kinabalu maut dalam kemalangan di Simpang Pusat Latihan Rela, Jalan Sulaman, Tuaran.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Harianto Anuar, 20; Neil Stanly Pletinie, 20; Mohammad Ikhwan Kurniawan, 20; Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy, 20; dan seorang lagi lelaki dewasa yang belum dikenal pasti identitinya.

Sementara itu, pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Mayat semua mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuaran untuk tindakan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X