Search

PRN17: GRS tawar 8 kerusi saja untuk BN – Salleh

September 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) hanya ditawarkan lapan kerusi menerusi rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Perkara itu didedahkan Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak dalam satu kenyataan selepas BN mengumumkan tidak akan bekerjasama dengan GRS pada PRN17.

Bekas Ketua Menteri itu berkata, ia punca BN membuat keputusan muktamad tidak bekerjasama dengan GRS.

Jelasnya, jumlah kerusi itu bertentangan dengan asas rundingan agihan kerusi, iaitu kerusi yang dimenangi pada PRN lalu mesti kekal kepada parti asal atau ‘incumbency rule’.

“Rundingan dengan GRS menjadi masalah kerana BN hanya ditawarkan lapan kerusi, sedangkan BN sebenarnya mempunyai 14 kerusi ‘incumbency’ hasil kemenangan PRN yang lalu.

“Dengar cerita ada seorang pemimpin utama parti komponen GRS yang mengatakan bahawa lapan kerusi itupun sudah terlalu banyak untuk BN.

“Kenyataan seperti ini amat menyakitkan hati kerana ia seolah-olah tidak menghormati BN serta menafikan sumbangan dan kekuatan BN di Sabah,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi mengumumkan keputusan muktamad BN dan UMNO Sabah tidak akan bekerjasama dengan GRS.

Beliay berkata, BN dan UMNO Sabah hanya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN17.

Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, berkata asas rundingan juga menyatakan, jika ada pertindihan dan pertukaran kerusi, ia mesti diselesaikan melalui persetujuan atau ‘swap rule’.

“Dengan PH, rundingan berjalan lancar kerana kedua-dua pihak menghormati asas ini. Di mana terdapat pertindihan, ‘swap’ digunakan.

“Hasilnya hampir selesai, menunjukkan kesediaan BN-PH bekerjasama dalam semangat Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Salleh berkata, BN berpendirian tegas tidak bersetuju dengan cadangan yang jelas merugikan dan tidak adil.

Katanya, pendirian itu konsisten dengan kenyataan Ahmad Zahid bahawa BN tidak akan berkompromi jika asas rundingan tidak dihormati.

“Sebenarnya, BN sentiasa terbuka kepada perbincangan dengan sesiapapun dalam suasana muafakat, dengan sentiasa mengutamakan kepentingan Sabah di atas segala-galanya,” katanya. – Info X