Search

PRN17: BN tolak kerjasama: Peluang emas GRS perkukuh politik tempatan

September 6, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang aktivis politik menyifatkan keputusan BN dan UMNO Sabah tidak akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17 sebagai peluang terbaik GRS memperkukuh politik tempatan.

Aksyah Nasrah, berkata keputusan itu seharusnya dilihat dari sudut positif kerana ia membuka ruang kepada rakyat Sabah untuk membuat pilihan secara demokratik tanpa sebarang kompromi politik yang boleh menggugat kestabilan negeri.

Bekas Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah itu berkata, beliau melihat pengumuman itu menggembirakan ahli dan penyokong GRS, namun ia bukanlah petanda awal kemenangan.

“Kemenangan hanya bermakna apabila GRS secara rasmi diumumkan sebagai parti yang mendapat mandat rakyat.

“Oleh itu, jentera parti perlu meningkatkan keupayaan, memperkukuh kerjasama strategik dan memastikan setiap sokongan daripada rakan komponen serta penyokong Pakatan Harapan (PH) Sabah diterjemahkan kepada undi,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Aksyah berkata, pendedahan Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, bahawa punca utama penolakan kerjasama adalah kerana BN hanya ditawarkan lapan kerusi, mendedahkan realiti sebenar kedudukan BN di Sabah.

Katanya, keputusan GRS yang enggan melayan tuntutan BN untuk bertanding di kerusi yang telah dimenangi gabungan itu adalah tepat dan selaras dengan prinsip Incumbency Rule, mempertahan kerusi yang sedia dimenangi.

“Keputusan ini wajar dan rasional berdasarkan keadaan semasa. Ia ibarat menolak pinangan secara berhemah tetapi tegas. Hakikatnya, GRS tidak pernah bercadang untuk bekerjasama dengan BN selepas episod Langkah Kinabalu yang mengganggu kestabilan politik negeri.

“BN sendiri yang membuka ruang perpecahan, maka sewajarnya mereka menerima hakikat bahawa landskap politik Sabah kini dipacu oleh parti-parti tempatan,” katanya.

Katanya, hubungan antara GRS dan BN kini ibarat minyak dan air, bukan seperti aur dan tebing.

“Jika benar rakyat memilih GRS, maka PRN kali ini adalah medan paling tepat untuk membuktikannya. Demokrasi memberi hak kepada rakyat menentukan siapa yang layak memimpin,” katanya.

Menyentuh kedudukan PH, Aksyah berkata gabungan itu dilihat lebih selesa bersama GRS, khususnya di kawasan yang tidak berlaku pertembungan dengan BN.

Katanya, kerjasama erat yang sudah berlangsung lebih dua tahun terbukti membuahkan hasil positif terhadap kestabilan politik Sabah.

“Hubungan politik GRS-PH Plus dibina berasaskan keikhlasan dan kejujuran, tanpa sebarang paksaan. Hasilnya, kedua-dua gabungan berjaya memimpin Sabah dengan baik hingga ke hari ini. Saya yakin PH akan lebih cenderung memilih kestabilan politik bersama GRS kerana ia sudah terbukti berfungsi,” katanya. – Info X