Search

Masih ada kanak-kanak tidak cukup makan, pengsan kerana lapar di sekolah – Society of Hope

September 7, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Presiden Persatuan Sumber Harapan Sabah (Society of Hope Sabah), Josephine Hadikusumo menyaksikan sendiri masih ada kanak-kanak kurang bernasib baik di Sabah datang ke sekolah tanpa menjamah makanan di rumah.

Berucap pada majlis makan malam amal persatuan itu di ITCC, di sini, malam tadi, beliau berkata pernah melihat seorang kanak-kanak perempuan pengsan di hadapannya ketika sedang bercakap dengan murid di sebuah sekolah luar bandar.

Peristiwa itu katanya tidak dapat dilupakannya kerana ia gambaran sebenar masih ada kanak-kanak tidak mendapat makanan yang secukupnya di rumah disebabkan kemiskinan.

Josephine Hadikusumo.

“Satu daripada lawatan saya ke sekolah di kampung, saya menyaksikan sesuatu yang saya tidak akan lupa. Ketika saya bercakap kepada kanak-kanak di situ, seorang budak perempuan kecil pengsan di hadapan saya.

“Pada mulanya saya ingat dia sakit tetapi gurunya memberitahu saya bahawa satu-satunya hidangan yang dia dan adik beradiknya makan ialah yang disediakan kerajaan di bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

“Saya terkejut dan sedih mendengar bahawa makanan percuma disediakan kerajaan adalah satu-satunya hidangan makanan yang dia ada sepanjang hari. Dia pengsan kerana kelaparan.

“Perkara itu mengubah saya, kemiskinan bukan satu statistik, kemiskinan adalah kanak-kanak yang pengsan kerana tidak cukup makanan di rumah,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew selaku pengasas Society of Hope Sabah yang ditubuhkan sebagai sebuah badan amal pada 2007.

Josephine yang mengambil alih persatuan itu daripada Christina pada 2019 berkata, atas sebab itulah Society of Hope Sabah wujud sebagai sebuah badan kerajaan (NGO) yang menumpukan kebajikan kanak-kanak kurang bernasib baik agar mereka dapat bersekolah dan mendapat pendidikan yang sempurna.

Josephine bersama Christina bercakap kepada pemberita mengenai usaha dilaksanakan Society of Hope Sabah.

Katanya, ketika pandemik COVID-19 pada 2020-2021, pihaknya melancarkan Project Hope Milk Fund dan mengagihkan lebih 7,400 unit susu tepung kepada kanak-kanak berumur setahun hingga lima tahun di beberapa daerah.

Sejak 2022 hingga kini, pula katanya lebih 10,000 set alat tulis dan buku latihan diagihkan kepada murid di 80 sekolah di 20 daerah menerusi kempen Jom Balik Kampung dan diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai pengagihan alat tulis terbesar di seluruh negara setakat ini.

Sementara itu, ditemui pemberita kemudian, Josephine berkata persatuan itu memfokuskan usaha membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dari segi kebajikan pendidikan sebagai langkah utama mengatasi masalah kemiskinan di Sabah mulai tahun depan sejajar fokus persatuan itu terhadap aspek pendidikan kanak-kanak.

Katanya, pendidikan adalah kunci utama untuk memutuskan rantaian kemiskinan dan atas sebab itu, persatuan yang dipimpinnya mengambil inisiatif untuk menumpukan aspek berkenaan dalam kerja amal yang dilaksanakannya.

“Fokus kita adalah pada kerja Society of Hope Sabah kerana saya percaya tugas kita bukan mengambil alih usaha baik kerajaan atau NGO lain, tetapi menambah, menyokong, dan bekerjasama untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang.

“Untuk tahun 2026 dan 2027 nanti, kita mahu fokus kepada semua 27 daerah di Sabah. Kita mahu beri pendidikan khas kepada komuniti miskin, B40, anak-anak dari keluarga susah.

“Kami percaya pendidikan adalah kunci untuk memutuskan rantaian kemiskinan. Kami benar-benar yakin pendidikan boleh mengangkat mereka keluar daripada lingkaran kemiskinan.

“Inilah misi dan visi kami, tetapi kami tidak dapat lakukan tanpa wang, tanpa sumbangan, tanpa tajaan,” katanya.

Bagi menyokong usaha persatuan itu, Josephine merayu kepada semua pihak, sama ada kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pihak korporat atau individu untuk menyumbang dana yang termampu.

“Kami berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), jadi sumbangan layak mendapat pengecualian cukai. Ini semua demi membangunkan kanak-kanak di Sabah.

“Setakat ini kami sudah meliputi 20 daerah, tapi masalahnya, kami sering hanya mampu buat lawatan sehari sahaja, kami tidak mampu terbang atau bermalam di daerah yang lebih jauh dari Kota Kinabalu kerana ia memerlukan perbelanjaan lebih.

“Dengan lebih banyak sumber, kami boleh buat lebih banyak, pergi lebih jauh dan capai kawasan lebih luas. Jadi inilah rayuan saya kepada orang ramai, marilah bersama kami, kami sangat gembira menerima kerjasama anda,” katanya.

Terdahulu, Christina berkata beliau mengasaskan persatuan itu pada 2007 sebagai badan kebajikan untuk membantu golongan dalam kesusahan di Sabah.

Katanya, inisiatif persatuan itu disalurkan ke pelbagai lokasi, termasuk kawasan terpencil seperti di Paitan dan Kota Marudu bagi memastikan penduduk dalam kesusahan mendapat bantuan yang sewajarnya.

Mengulas mengenai program malam tadi, Christina berkata ia bertujuan untuk membantu semua kanak-kanak, khususnya di pedalaman dari segi kebajikan dan pendidikan.

“Program ini sangat bermakna, sebab itu saya datang, walaupun sudah bersara, kerana saya mahu berikan sokongan dan galakkan mereka untuk terus melaksanakan kerja ini.

“Inilah jenis NGO yang patut kita sokong sepenuhnya. Bukan saja Society of Hope, tetapi juga NGO lain yang berjuang demi kebaikan rakyat, khususnya kanak-kanak. Saya sentiasa memberi sokongan penu,” katanya. – Info X