Search

Warga emas ditahan ugut pakar patologi kes Zara

September 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun kerana disyaki mengugut Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu yang terbabit dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Suspek ditahan kira-kira jam 7 pagi tadi di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna selepas polis menerima laporan mengenai satu kenyataan di laman Facebook menggunakan akaun atas nama ‘Amung Kamaruddin’ yang berunsur ugutan jenayah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima pada 5 September lalu daripada mangsa, seorang pakar patologi HQE.

Datuk Jauteh Dikun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Redmi daripada suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil semakan awal mendapati telefon bimbit itu digunakan bagi mengendalikan akaun Facebook berkenaan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta menimbulkan keresahan masyarakat.

“Orang ramai digesa untuk sentiasa berfikir terlebih dahulu sebelum berkongsi atau memuat naik kandungan di media sosial, selaras dengan prinsip undang-undang serta keharmonian masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Jauteh berkata PDRM memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan berkenaan.

Semalam, polis mengesahkan menerima laporan daripada Pakar Patologi HQE, Dr Jessie Hiu, berhubung ugutan yang diterimanya selepas memberi keterangan selama dua hari di inkues kematian Zara di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu. – Info X