LAHAD DATU: Empat rumah jenis tidak kekal di Kampung Binuang 1, Jalan Tungku, di sini, terbakar dalam kejadian petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.59 petang sebelum sepasukan 16 anggota bersama tiga jentera dikerahkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan empat rumah jenis tidak kekal.
“Sebuah rumah musnah 100 peratus, manakala tiga rumah lain terbakar antara 10 hingga 30 peratus.

“Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki dengan dua pancutan secara kaedah ‘defensive’ menggunakan sumber air dari jentera dan perigi berdekatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.53 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.45 petang.
Katanya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu.
Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai dua anggota serta tiga anggota Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB). – Info X