KOTA KINABALU: Pasukan peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir menegaskan semua pihak perlu mematuhi arahan Hakim Koroner yang melarang seorang saksi pengawal keselamatan berhubung dengan saksi lain atau orang awam kerana keterangannya masih belum selesai.
Peguam keluarga, Shahlan Jufri berkata, larangan itu jelas bagi memastikan perjalanan inkues tidak dipengaruhi faktor luar dan perlu dipatuhi semua pihak.
“Selagi keterangan saksi pengawal keselamatan belum selesai, mereka tidak dibenarkan berkomunikasi mengenai inkues ini.
“Itu arahan hakim, bukan daripada kami,” katanya ketika ditemui media selepas selesai prosiding inkues kematian Zara di Mahkamah Koroner, hari ini.
Prosiding pagi tadi dimulakan dengan keterangan saksi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan simulasi di sekolah menggunakan patung setinggi 180 sentimeter.
Peguam Ridzwandean M Borhan berkata, pihaknya mempersoalkan penggunaan patung itu kerana ia jauh lebih tinggi berbanding arwah Zara yang hanya 153 sentimeter.
“Kami juga bertanya sama ada saksi itu tahu tentang ATD atau crash test dummies yang mempunyai sendi, tetapi beliau maklumkan tidak tahu.
“Malah patung yang digunakan hanyalah patung keras tanpa sendi. Kami turut bertanya sama ada beliau pakar biomekanik, namun beliau mengakui bukan,” katanya.
Menurut Rizwandean, seorang doktor turut memberi keterangan semalam berdasarkan laporan perubatan dan imbasan radiologi terhadap arwah yang mengesan hematoma (pendarahan dalaman) pada bahagian vertex scalp atau tengkorak paling atas.
“Doktor juga ditanya sama ada terdapat kesan kecederaan berulang (bar code) pada tubuh arwah Zara, tetapi beliau menafikan,” katanya.
Esok, prosiding akan bersambung dengan lawatan ke lokasi kejadian bersama Hakim Koroner dan pihak mahkamah.
Rizwandean berkata, pihaknya tidak pasti sama ada patung dengan sendi akan digunakan dalam lawatan itu.
Hakim Koroner turut menetapkan hanya dua peguam daripada setiap pihak dibenarkan menyertai lawatan memandangkan ia kawasan sekolah yang terhad. – Info X