Search

Inkues kematian Zara: Saksi tunjuk kerosakan patung simulasi kepada Koroner

September 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini ditunjukkan patung yang digunakan pihak polis bagi menjalankan simulasi kejadian di asrama Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Patung berkenaan digunakan ketika simulasi kejadian di asrama sekolah arwah yang dibuat pada 3 Ogos lalu.

Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Inspektor Maidon Bernadus yang menyambung keterangan hari ini berbuat demikian selepas diminta Pegawai Pengendali inkues, Datuk Badiuszaman Ahmad.

Pada prosiding itu saksi menunjukkan patung yang sudah rosak dengan bahagian kepala terpisah daripada badan patung dan patah kedua-dua bahagian kaki.

Selesai menunjukkan patung berkenaan, peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu arwah Zara Qairina kemudian mengemukakan soalan mengenai latar belakang saksi dan hasil dapatan daripada simulasi yang dijalankan saksi sebelum ini.

Maidon berkata beliau mula terbabit dalam siasatan tempat kejadian sejak 2016 dengan lebih 10 siasatan kes setahun membabitkan pelbagai jenis siasatan tempat kejadian seperti ‘sudden death report’ (SDR), kes bunuh, pemeriksaan Akta Dadah Berbahaya (ADB), pecah rumah dan Seksyen 457, selain kes curi kenderaan.

Bagaimanapun, katanya simulasi untuk kes membabitkan inkues adalah yang pertama dibuat sepanjang bertugas sebagai pegawai di bahagian siasatan.

Dalam keterangannya semalam, Maidon berkata simulasi dibuat bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai insiden menimpa arwah Zara selepas menerima permohonan Pegawai Penyiasat, Inspektor Wong Yew Zhung bagi memeriksa tempat kejadian pada 2 Ogos lalu. – Info X