KOTA KINABALU: Allahyarham Zara Qairina Mahathir dipercayai kali terakhir dilihat di tandas tingkat tiga asramanya sebelum ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah bangunan itu pada awal pagi 16 Julai lalu.
Perkara itu diberitahu Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Inspektor Maidon Bernadus ketika menyambung keterangan mengenai simulasi kejadian, pada Rabu.
Beliau mendedahkan perkara itu ketika ditanya peguam ibu arwah, Shahlan Jufri kenapa ujian simulasi menggunakan jatuhan patung itu dibuat di tingkat tiga bangunan asrama berkenaan.
Katanya, maklumat itu berdasarkan siasatan yang dibuat oleh Pegawai Penyiasat kes itu, Inspektor Wong Yew Zhung.
Maidon turut menerangkan kenapa simulasi atau pembinaan semula insiden kejadian itu dibuat pada jam 3 pagi, iaitu waktu yang sama insiden membabitkan arwah Zara berlaku pada 16 Julai lalu.
Ketika prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan itu, Maidon turut ditanya sama ada simulasi yang dilakukan beliau bersama pasukannya disemak oleh pakar bebas atau biomekanik.
Beliau bagaimanapun menidakkan perkara itu kerana tidak menerima arahan dari pihak atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Maidon juga mengakui beliau bukan pakar dalam bidang membina semula kejadian. – Info X