KOTA KINABALU: Taktik seorang pengedar dadah yang aktif menjual bahan terlarang dengan kaedah ‘cash on delivery’ (COD) atau bayar selepas terima di sekitar daerah ini dan Penampang sejak awal tahun ini akhirnya terbongkar selepas suspek ditahan dalam serbuan, malam tadi.
Suspek tempatan berusia 40 tahun ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah ketika berada di hadapan lobi sebuah premis di Bundusan, Penampang kira-kira jam 8.55 malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati suspek memiliki empat paket plastik berwarna merah putih bertulis Supreme Plus+ berisi serbuk disyaki ekstasi seberat 122.3 gram.
“Pasukan serbuan turut merampas satu paket plastik lutsinar kecil mengandungi 13 biji pil merah jambu bertulis Refex disyaki pil ekstasi seberat 4.8 gram.
“Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan wang tunai berjumlah RM6,400,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, susulan tangkapan itu, pasukan JSJN bersama suspek melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Nelly, Kolombong, Inanam pada malam sama.
“Hasil pemeriksaan dalam bilik yang dipercayai milik suspek, polis menemui pelbagai paket plastik berisi serbuk disyaki ekstasi seberat 1,223.7 gram serta dua paket berisi hablur jernih disyaki ketamin seberat 53.2 gram.
“Polis juga merampas wang tunai mata wang asing (USD) bernilai 5,395, barang kemas iaitu dua gelang, satu rantai dan lima cincin, selain alat sealer serta hampir 100 paket plastik kosong dipercayai digunakan untuk memproses serbuk ekstasi,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku mengedar dadah jenis ekstasi dan ketamin di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu sejak awal 2025 dengan kaedah penghantaran COD.

Secara keseluruhan, katanya, polis berjaya merampas 1,346 gram serbuk ekstasi, 53.2 gram ketamin dan 4.8 gram pil ekstasi bernilai RM54,840.
“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah suspek,” katanya. – Info X