KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua pesara sebuah agensi kerajaan negeri selepas disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu.
Ia bagi mendapatkan pembayaran projek pembersihan kawasan dan penanaman kelapa tacunan berjumlah kira-kira RM6,000.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah Cawangan Lahad Datu.
“Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2021 semasa bertugas di sebuah agensi kerajaan di negeri ini.
“Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek dipercayai telah mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu bagi pembayaran projek pembersihan kawasan dan penanaman kelapa tacunan berjumlah kira-kira RM6,000 sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Kedua-dua suspek akan didakwa dalam masa terdekat,” katanya. – Info X