Search

‘Geng Awen’ curi motorsikal tumpas, 8 termasuk ketua ditahan

September 10, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Kelicikan ‘Geng Awen’ yang aktif mencuri motorsikal di sekitar daerah ini dan Putatan akhirnya tumpas apabila lima anggotanya termasuk ketua kumpulan berkenaan ditahan polis dalam serbuan khas, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu, semua suspek berusia 19 hingga 42 tahun ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, berkata hasil soal siasat ke atas tangkapan awal itu membawa kepada penahanan tiga lagi individu di Kota Marudu.

Katanya, ketiga-tiga suspek dikenalpati bertindak sebagai pembeli kepada motorsikal yang dicuri suspek awal.

“Secara keseluruhan, polis berjaya menahan lapan lelaki termasuk ketua kumpulan berusia 22 tahun.

“Empat daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian saringan air kencing,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Suspek menunjukkan motorsikal yang dicuri.

Menurutnya, ketika operasi itu, polis turut merampas enam motorsikal yang dipercayai dicuri iaitu dua Yamaha Y15Z, tiga Yamaha 135LC dan sebuah Yamaha 125Z dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM40,000.

“Dengan tertumpasnya kumpulan itu, pihak polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes curi motorsikal di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu,” katanya.

Sammy berkata, siasatan turut mendapati ketua kumpulan terbabit mempunyai 12 rekod jenayah lampau melibatkan kes curi motorsikal dan dadah.

Manakala katanya, lima lagi ahli kumpulan turut mempunyai rekod jenayah sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

“Polis akan terus komited membanteras kegiatan jenayah di daerah ini. Orang ramai juga diminta menjadi mata dan telinga polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah,” katanya. – Info X