Search

Inkues kematian Zara: Dr Jessie tidak tahu mana-mana VVIP

September 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu memberitahu Mahkamah Koroner beliau tidak tahu mana-mana individu penting (VVIP) atau pihak ketiga cuba mempengaruhi beliau dalam memberi keterangan di Mahkamah Koroner.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan peguam Datuk Ram Singh yang bertanya sama ada jawapan beliau pada inkues kematian Allahyarham Zara Qairina itu berdasarkan kepakaran beliau semata-mata dan tidak dipengaruhi VVIP atau pihak ketiga.

“Saya tidak tahu ada mana-mana VVIP atau pihak ketiga,” katanya pada prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, petang ini.

Dr Jessie menyambung keterangan berkaitan simulasi yang diadakan pada prosiding locus in quo di asrama sekolah arwah Zara yang turut dihadirinya, pagi tadi.

Sementara itu, Dr Jessie bersetuju dengan kenyataan Ram bahawa arwah Zara dalam keadaan sedar ketika jatuh dalam insiden pada awal pagi 16 Julai lalu.

Beliau juga berpendapat agak sukar untuk menjatuhkan seseorang dalam keadaan tegak dengan mengangkatnya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Ya, tapi orang yang angkat mesti posisikan badannya memanjang untuk menyamai di mana dia mendarat dengan kaki terlebih dahulu dari ‘ledge’ yang mana agak jauh,” katanya.

Akhir sekali Ram menyatakan arwah Zara dalam keadaan sedar dan berdiri tegak ketika jatuh, bukan dalam keadaan tidak sedar, sebelum diiyakan Dr Jessie.

“Ya, likely,” jawab Dr Jessie. – Info X