KOTA KINABALU: Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu menyambung keterangan mengenai simulasi ketika sesi locus in quo di asrama Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada pagi tadi.
Beliau menerangkan hasil simulasi memggunakan patung itu pada prosiding inkues di Mahkamah Koroner, di sini, petang ini.
Pagi tadi beliau hadir pada prosiding secara locus in quo yang dibuat di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan di Limauan, Kinarut, Papar.
Prosiding di Mahkamah Koroner petang ini dimulakan dengan pertanyaan pegawai pengendali, Datuk Badiuszaman Ahmad mengenai simulasi yang dibuat di lokasi kejadian itu.
Dr Jessie menerangkan dapatan simulasi menggunakan patung itu yang dibuat berdasarkan dua situasi berbeza, masing-masing dalam keadaan duduk dan berdiri.
“Dapatan rekonstruksi pagi ini berdasarkan dua senario, pertama ialah (patung) dalam keadaan duduk dan ditolak dari belakang. Patung jatuh dari bangunan dengan muka ke bawah. Senario kedua adalah dalam keadaan berdiri dan jatuh terus ke bawah, patung jatuh ke longkang,” katanya.
Katanya, dalam kes arwah Zara, ada dua parameter, iaitu yang pertama kecederaan di kedua belah kaki, manakala parameter lain ialah jarak dari bangunan.
“Senario pertama patung jatuh jauh dari bangunan tapi muka dan badan menghadap ke bawah. Senario kedua, patung mendarat dengan dua kaki secara terus, tapi dekat dengan bangunan, bukan lokasi yang dipercayai lokasi kaki si mati mendarat,” katanya.
Sementara itu, Dr Jessie menjelaskan arwah Zara Qairina mengalami kecederaan tulang patah yang teruk di bahagian tibia atau tulang betis, disebabkan jatuh dari ketinggian.
Beliau menjawab pertanyaan peguam mewakili ibu arwah Zara Qairina, Rizwandean M Borhan yang menyatakan kemungkinan arwah mengalami kecederaan lebih teruk jika jatuh dari tingkat tiga bangunan.
Rizwandean turut menyatakan ada banyak kemungkinan yang boleh menjadi punca arwah jatuh, termasuk kemungkinan ditolak dan ia dipersetujui pakar patologi itu yang juga saksi pertama inkues sebelum ini.
Bagaimanapun, Dr Jessie menerangkan dalam kes arwah Zara Qairina, arwah mendarat dengan kakinya pada satu jarak dari bangunan asrama dan tidak mungkin boleh tergelincir. – Info X