KOTA KINABALU: Peguam mewakili tertuduh remaja, Datuk Ram Singh hari ini memohon Mahkamah Koroner supaya membabitkan pakar psikiatri forensik bagi menilai keadaan mental Allahyarham Zara Qairina Mahathir dalam prosiding inkues kematian pelajar terbabit.
Menurutnya, faktor psikologi arwah perlu diberi perhatian kerana kejadian berlaku sekitar jam 3 pagi di asrama sekolah dan membabitkan remaja berusia 13 tahun.
“Persoalan utama ialah apakah keadaan mental Zara pada masa itu dan mengapa arwah berada di koridor pada masa itu.
“Ini memerlukan kepakaran psikiatri forensik, bukan sekadar penilaian fizikal,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding inkues kematian arwah Zara, petang ini.
Menurutnya, keterangan saksi pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, hari ini jelas menunjukkan bidang beliau hanya terhad kepada aspek perubatan kecederaan dan kesan jatuhan, bukan psikologi.
“Mahkamah perlu melihat faktor menyeluruh, termasuk tekanan emosi atau isu lain yang mungkin mendorong arwah berada di lokasi itu.
“Justeru kami mohon mahkamah mendapatkan khidmat psikiatri forensik kerajaan untuk analisis lebih komprehensif,” katanya.
Permohonan itu turut disokong peguam keluarga Zara yang menekankan pentingnya penilaian psikologi dibuat bagi melengkapkan keseluruhan gambaran insiden.
Koroner Amir Shah Amir Hassan kemudian mengambil maklum perkara itu dan menangguhkan keputusan untuk tindakan lanjut.
Prosiding hari ini turut menyaksikan simulasi menggunakan tiga patung bagi menggambarkan kemungkinan cara arwah jatuh dari bangunan asrama.
Hasil simulasi menunjukkan senario kedua iaitu patung dijatuhkan dalam keadaan berdiri lebih hampir dengan keadaan sebenar berdasarkan dapatan perubatan.
Dr Jessie dalam keterangannya menjelaskan kecederaan pada kaki dan kepala arwah adalah konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi dan mengesahkan keterangan beliau dibuat berdasarkan kepakaran perubatan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. – Info X