Search

Peguam keluarga Allahyarham Zara lantik pakar psikologi bebas dari KL

September 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan menggunakan khidmat seorang pakar psikologi bebas dari Kuala Lumpur bagi menilai tahap keadaan minda arwah Zara sebelum tragedi yang menimpa.

Peguam Shahlan Jufri berkata, langkah itu penting bagi melengkapkan gambaran sebenar kerana aspek psikologi arwah tidak boleh diketepikan dalam prosiding inkues.

“Pakar psikologi bebas ini dijangka tiba di Kota Kinabalu minggu depan. Beliau akan menemubual ibu arwah, rakan-rakan sekolah rendah dan menengah, guru-guru serta meneliti buku dan diari milik arwah Zara yang dikemukakan di mahkamah.

“Tujuannya adalah untuk membuat pemprofilan dan menilai keadaan mental arwah sebelum kejadian,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Koroner, hari ini.

Terdahulu, pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu menamatkan keterangannya selepas dua hari tampil di mahkamah dengan menjelaskan kecederaan dialami Zara konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.

Pagi tadi, rombongan mahkamah bersama peguam turut mengadakan lawatan ke sekolah Allahyarham Zara di Limauan, Papar, bagi menjalankan simulasi menggunakan patung serta meneliti katil dan loker arwah di dorm asrama.

Shahlan berkata, selepas pengawal keselamatan memberi keterangan esok, berkemungkinan akan ada seorang lagi doktor dipanggil untuk melengkapkan prosiding inkues.

“Kalau tidak silap, kami berada di sekolah lebih kurang dua jam dan beberapa proses bina semula sudah dibuat menggunakan patung dengan bebanan tambahan. Gambar-gambar serta ukuran di blok asrama turut diambil pagi tadi.

“Kami juga pergi ke bilik asrama arwah Zara. Bilik itu kelihatan seolah-olah tidak lagi digunakan, tetapi kami dapat kenal pasti katil dan loker miliknya. Katil jenis bertingkat ada enam, dan arwah menempati bahagian atas bersama 11 pelajar lain.

“Saya bersama Ridzwandean M Borhan sempat meneliti serta mengambil beberapa gambar untuk tujuan inkues ini,” katanya.

Inkues bersambung esok dengan keterangan saksi keenam iaitu pengawal keselamatan sekolah. – Info X