KOTA KINABALU: Allahyarham Zara Qairina Mahathir dituduh mencuri wang sehari sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama pada 16 Julai lalu.
Perkara itu diberitahu pengawal keselamatan, Linah Mansoding @ Jaliha, 65 pada prosiding inkues kematian arwah Zara di Mahkamah Koroner, di sini, pada Jumaat.
Saksi keenam itu memberitahu mahkamah, pada kira-kira jam 8 malam, 15 Julai lalu, seorang pelajar perempuan mengadu kehilangan wang tunai RM300 bersama kad banknya.
Katanya, pelajar terbabit mendakwa Zara mencuri wang terbabit dan perkara itu turut dimaklumkan kepada pelajar tingkatan empat lain yang berperanan sebagai penjaga dorm.
“Selepas aduan itu, pelajar tingkatan empat memanggil Zara untuk berjumpa, namun saya tidak pasti apa yang berlaku selepas itu, berkemungkinan dia dibawa untuk menghadiri perjumpaan ‘MA’,” katanya ketika prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Beliau berkata, berita itu juga sampai ke pengetahuan warden yang kemudiannya memanggil ketua dorm untuk memastikan apa yang berlaku sebelum diberitahu bahawa Zara dituduh mencuri wang seorang pelajar tingkatan satu namun tiada sebarang tindakan susulan dibuat.
Sementara itu, Linah memberitahu mahkamah bahawa ‘MA’ yang disebut dalam keterangannya adalah istilah bagi perjumpaan antara pelajar senior dan junior di asrama yang kononnya bertujuan memberi teguran atau nasihat.
Bagaimanapun, kataya ia diharamkan sejak 2017 kerana sering disalahgunakan untuk menekan junior.
“Amalan ‘MA’ hanya dijalankan secara senyap oleh pelajar senior tanpa pengetahuan guru atau warden, biasanya ia berlaku apabila timbul isu disiplin seperti tidak menghormati senior atau tuduhan melakukan kesalahan.
“Sepanjang berada di asrama ini, saya hanya mengetahui tiga sesi ‘MA’ pernah berlaku, termasuk ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Sepatutnya sebarang masalah dilaporkan kepada guru, tetapi dalam kes ini, pelajar senior bertindak sendiri memanggil junior mereka. Itu sebabnya ‘MA’ dilarang,” katanya.
Dalam pada itu ditanya jika saksi pernah berinteraksi dengan Zara, beliau menyatakan ada dua kali iaitu apabila video Zara di aplikasi TikTok muncul di layar utama akaun media sosialnya.
“Saya menegur dan bertanya kepada Zara jika ini adalah video miliknya dan dia mengakuinya sebelum menyatakan penyesalan selepas berjumpa seorang pelajar perempuan lain. Saya bertanya siapa yang dia maksudkan tetapi dia tidak menjawab.
“Kali kedua apabila saya menegur mereka membasuh pakaian pada waktu malam dan Zara bergurau dengan berlari-lari di kawasan ampaian kain,” katanya. – Info X