Search

Inkues kematian Zara: Arwah dipindah ke depan rumah warden selepas ditemui tidak sedarkan diri

September 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu Allahyarham Zara Qairina Mahathir dipindahkan dari lokasi dia ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya sebelum ketibaan ambulans pada 16 Julai lalu.

Perkara itu diberitahu pengawal keselamatan, Linah Mansoding @ Jaliha, 65 ketika menjawab soalan peguam ibu arwah, Shahlan Jufri pada hari ketujuh inkues kematian arwah Zara pada Jumaat.

Beliau yang bertugas mengawal asrama perempuan ketika insiden itu berlaku pada awal pagi 16 Julai lalu menyambung keterangannya berhubung situasi pada masa itu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Rabu lalu, Linah selaku saksi keenam inkues membacakan keterangan bertulis mengenai penemuan arwah Zara yang tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama.

Katanya, Zara dipindahkan dari lokasi dia ditemui tidak sedarkan diri ke hadapan rumah warden oleh ketua warden bersama tiga pelajar tingkatan empat.

Linah memberitahu mahkamah, selepas ketua warden sampai ke lokasi, beliau mengarahkan agar Zara dipindahkan bagi memudahkan pihak ambulans mengangkatnya.

“Pada masa itu saya juga mahu membantu mengangkat tetapi tiada bahagian yang boleh saya pegang, mereka kemudian meletakkan Zara di bahagian depan asrama, berdekatan rumah warden, sementara menunggu ambulans,” katanya.

Ketika itu, katanya beberapa guru turut cuba menyedarkan Zara dengan memegang pipinya dan memanggilnya, namun tiada respon.

“Zara masih dalam keadaan menarik nafas dengan sukar (nazak) dan kami menunggu hampir sejam kerana ambulans tiba lewat sekitar jam 4 pagi,” katanya.

Beliau memberitahu mahkamah, ketika tubuh mangsa dipindahkan, terdapat pendarahan ketara pada bahagian kaki kiri yang didapati patah sehingga tulang terkeluar, selain kesan darah di tengkuk.

Bagaimanapun, katanya bahagian parit tempat arwah ditemukan tiada darah, tetapi selepas diangkat ada kesan darah yang banyak terutama pada bahagian kaki.

“Selepas ambulans beredar membawa Zara ke hospital, suasana sekolah menjadi kecoh pada waktu siang.

“Sebahagian besar pelajar terutama Tingkatan Satu mahu pulang kerana ketakutan tetapi saya hanya menasihatkan mereka agar tidur di bilik sakit dan saya menjaga serta menenangkan mereka di sana,” katanya.

Beliau berkata, ada ibu pelajar yang cuba untuk mengambil anak yang juga pelajar Tingkatan Satu, namun tidak dibenarkan oleh warden bertugas berikutan tidak mendapat kebenaran pengetua yang ketika itu berada di kediaman ibu Zara di Sipitang. – Info X