Search

Penunggang motosikal maut selepas bergesel dengan kenderaan pacuan empat roda

September 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Pintas Tuaran berhampiran lampu isyarat Ford Sales Centre, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.22 petang itu, mangsa berusia lingkungan 50-an dikatakan menunggang dari arah Likas menuju ke Inanam sebelum dipercayai membuat pusingan U dan menukar lorong dari kiri ke kanan.

Bagaimanapun, tindakannya itu menyebabkan motosikal bergesel dengan bahagian kiri belakang pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki di lorong kanan jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, perlanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh sebelum mengalami kecederaan parah.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Likas untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada jam 3.46 petang ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

“Pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan penunggang motosikal menukar lorong tanpa memastikan keadaan jalan dalam keadaan selamat.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk pemeriksaan kenderaan, pengesanan rakaman CCTV serta ujian alkohol dan dadah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati, mematuhi peraturan jalan raya dan sentiasa peka dengan keadaan trafik semasa bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. – Info X