PITAS: Seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun cedera melecur selepas berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran membabitkan dua rumah sewa di Kampung Perpaduan Saab, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa yang melecur di leher dan lengan tangan kanan dihantar ke hospital oleh penduduk kampung sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Gabuh Maradan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 9.17 malam.
“Seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi untuk operasi pemadaman.

“Kebakaran membabitkan dua rumah sewa jenis tidak kekal yang musnah terbakar sepenuhnya. Api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah berhampiran pada jam 9.42 malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang cedera melecur sudah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Katanya, pemeriksaan akhir turut dilakukan bagi memastikan tiada lagi ancaman bahaya sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.58 malam. – Info X