PENAMPANG: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Sarapung, di sini, semalam, akhirnya ditemui meninggal dunia oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), pagi tadi.
Mangsa berusia 97 tahun itu ditemui tertimbus di tingkat bawah rumah kira-kira jam 10.35 pagi sebelum dikeluarkan pasukan bomba pada 10.45 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penguasa Kanan Bomba Zeno Tinggalan berkata, operasi SAR hari kedua dimulakan pagi tadi dengan kerja memotong pokok, membersihkan runtuhan serta menggali tanah menggunakan peralatan manual sementara menunggu bantuan jengkaut daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Mangsa berjaya ditemui di tingkat bawah rumah sebelum dikeluarkan dan dibawa keluar sejauh 750 meter ke kawasan selamat dengan bantuan polis serta penduduk kampung.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.30 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, seorang lagi mangsa wanita berusia lingkungan 60-an sebelum ini berjaya menyelamatkan diri dengan cedera ringan dan kini dilaporkan stabil.
Semalam, Info X melaporkan seorang mangsa dilaporkan hilang selepas sebuah rumah dua tingkat separuh kekal di Kampung Sarapung ditimbus tanah runtuh.
Seorang lagi mangsa berjaya diselamatkan orang awam dalam keadaan cedera ringan. – Info X