Search

Perkhidmatan bas KK Hop On Hop Off bawa pengunjung keliling bandar raya

September 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perkhidmatan bas KK Hop On Hop Off (HOHO) diperkenalkan di bandar raya ini sebagai tarikan baharu kepada pengunjung dan warga setempat, bermula hari ini.

Dilancarkan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai, perkhidmatan bas itu akan melalui kawasan menarik sekitar ibu negeri, bermula dari KK Sentral, di sini.

Joniston ketika ditemui selepas pelancaran berkata, perkhidmatan bas dua tingkat dengan separa berbumbung di tingkat atas itu juga sebagai kemudahan kepada pelancong yang meninjau sekitar bandar raya.

“Hari ini kita melancarkan perkhidmatan bas hop on hop off yang merupakan pertama di Kota Kinabalu. Bandar-bandar lain sudah ada jadi ini sudah tentu akan menjadi satu lagi tarikan kepada pelancong.

“Ini kerana jika kita lihat di bandar raya negara lain amat popular sekali, jadi kita penuh yakin bahawa perkhidmatan bas hop on hop off di Kota Kinabalu ini pun akan menjadk satu tarikan popular bukan saja dalam kalangan pelancong tetapi juga orang tempatan,” katanya.

Pada majlis itu, Joniston mewakili Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew.

Hadir sama Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, Datuk Phoong Jin Zhe; Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin; Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Vivian Wong; Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan Pengerusi KK HOHO, Datuk Tan Kok Liang.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) percaya perkhidmatan bas berkenaan mampu mempopularkan lagi ibu negeri melalui persinggahan di setiap lokasi yang tersenarai dalam laluannya.

“Saya percaya pihak syarikat dengan kerjasama Dewan Bandaraya Koya Kinabalu (DBKK) dan rakan dalam sektor pelancongan ada memberi input tempat mana yang harus dilalui terutama sekali bangunan ikonik seperti Yayasan Sabah, Sabah International Convention Center (SICC) dan juga tempat membeli belah dan makan yang cukup popular,” katanya.

Sementara itu, Kok Liang berkata sebanyak dua bas dua tingkat separa berbumbung disediakan untuk perkhidmatan itu dengan kapasiti masing-masing sebanyak 60 tempat duduk.

Ciri-ciri unik bas itu katanya membolehkan penumpang melihat pemandangan sekitar bandar raya dengan jelas dan lebih menarik.

Selain itu, katanya bas berkenaan turut dilengkapi rakaman suara pelbagai bahasa untuk memberi penerangan kepada penumpang.

“Dalam bas itu ada enam bahasa yang tadi kita boleh dengar iaitu bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin, Tamil, Korean dan Jepun.

“Harga tiket bagi warga Malaysia ialah RM30 Untuk orang dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun. Bagi pelancong antarabangsa, RM45 untuk dewasakkk dan RM25 Untuk anak-anak 5 hingga 12 tahun,” katanya.

Perkhidmatan bas berkenaan, katanya melalui sebanyak 17 lokasi iaitu bermula dari KK Sentral ke Oceanus Mall, Handicraft Market, Suria Sabah, SICC, Teluk Likas, Anjung Selera, Yayasan Sabah, Masjid Bandaraya, Atkinson Clock, Museum Sabah, Sabah Art Gallery, KK Chocolate House, Pantai Tanjung Aru, Shangri-la Tanjung Aru Resort, Sutera Harbour, Imago dan kembali ke KK Sentral. – Info X