KOTA KINABALU: Telefon bimbit milik pengawal keselamatan yang bertugas ketika Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu dijadikan sebagai eksibit atau barang kes Mahkamah Koroner.
Alat komunikasi saksi keenam inkues kematian Zara itu, Linah Mansoding @ Jaliha, 65 digunakan saksi ketika bertugas di sekolah arwah.
Mahkamah Koroner diberitahu, telefon bimbit itu digunakan saksi ketika bertugas membuat rondaan di kawasan sekolah dan asrama termasuk pada hari kejadian.
Linah memberitahu mahkamah, rondaan dijalankan bermula jam 8 malam dengan lima titik kawalan atau ‘point jam’ termasuk di rumah guru dan asrama pelajar setiap dua jam sekali.
“Setiap rondaan mengambil masa antara 30 minit hingga hampir sejam dengan catatan dibuat menggunakan telefon bimbit berkenaan sebelum dimasukkan semula ke dalam buku laporan.
“Rondaan dijalankan secara bergilir oleh pengawal lelaki yang meliputi semua kawasan sekolah termasuk asrama pelajar perempuan.
“Sepanjang rondaan dijalankan, laporan tidak menunjukkan sebarang pergerakan atau aktiviti mencurigakan,” katanya menyambung keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, pada Jumaat.
Ketika ditanya jika beliau boleh menunjukkan hasil laporan berkenaan, Linah menjawab boleh jika maklumat terbabit masih ada dalam telefon berkenaan.
Beliau bagaimanapun berkata, gambar yang diambil menggunakan telefon bimbit dipadam setiap kali selesai bertugas.
Ketika prosiding, beliau diminta menghidupkan telefon bimbit terbabit, namun gagal disebabkan baterinya kehabisan cas.
Berikutan itu, peralatan berkenaan didaftarkan sebagai eksibit baharu dalam prosiding sebelum dibuka untuk mengetahui kandungannya sebaik bateri dicas. – Info X