Search

Inkues kematian Zara: Pengawal keselamatan sahkan tubuh arwah dipindahkan dari kedudukan asal

September 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengesahkan keterangan saksi keenam dalam prosiding inkues hari ketujuh di Mahkamah Koroner, hari ini, memberi beberapa pendedahan penting.

Peguam Shahlan Jufri berkata, saksi berkenaan iaitu seorang pengawal keselamatan sekolah mengesahkan tiga perkara utama, termasuk badan arwah dipindahkan jauh daripada lokasi asal ia ditemui.

“Selain itu, saksi juga menjelaskan kewujudan amalan dipanggil MA yang dilakukan pelajar senior terhadap pelajar junior di asrama.

“Bagaimanapun, menurutnya amalan itu sudah lama dilarang dan diharamkan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding inkues di Mahkamah Koroner di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, petang ini.

Tambah beliau lagi, saksi turut memaklumkan pada malam kejadian terdapat insiden kecurian duit seorang pelajar asrama, berdasarkan maklumat yang disampaikan kepadanya.

“Mengenai wujudnya insiden kecurian pada malam itu, jadi dia (saksi) pun mendapat tahu berkenaan kecurian ini daripada salah seorang pelajar asrama.

“Kami pun tidak tahu siapa, tapi terdapat seorang pelajar yang memberi tahu bahawa duit pelajar tersebut hilang pada malam itu,” katanya.

Prosiding inkues berkenaan ditangguhkan dan akan disambung semula minggu depan dengan saksi baharu termasuk seorang doktor dari Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth. – Info X