KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner, hari ini mendengar saksi keenam menafikan wujudnya sebarang unsur buli pada malam sebelum arwah Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.
Peguam mewakili empat daripada lima tertuduh remaja yang berdepan kes buli di Mahkamah Kanak-Kanak, Azhier Farhan Arisin berkata, saksi berkenaan menjelaskan tiada sebarang petunjuk yang mengaitkan arwah dibuli atau berlaku keganasan di asrama.
“Ada beberapa perkara daripada keterangan saksi pada hari ini, iaitu pengawal keselamatan yang bertugas pada malam kejadian, keterangan utama yang diberikan, dia mengesahkan bahawa tiada pelajar yang ditemui dalam mesin basuh sewaktu rondaan, dia mengesahkan bahawa Zara tidak pernah dimasukkan ke dalam mesin basuh.
“Perkara kedua dia mengesahkan bahawa pada malam kejadian sewaktu rondaan, dia tidak melihat atau mendengar perkara yang mencurigakan seperti orang yang dipukul, orang dihina, tidak ada, semua tidak ada,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Koroner, hari ini.
Azhier berkata, pengawal keselamatan itu juga adalah saksi awal yang dimaklumkan oleh seorang pelajar mengenai penemuan arwah Zara dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama.
“Cuma apa yang terjadi pada malam kejadian sewaktu rondaan, dia telah diberitahu oleh salah seorang pelajar bahawa arwah Zara telah ditemui terjatuh di dalam longkang.
“Itu antara keterangan utamanya dan keterangan utama juga dari saksi ini, dia mengatakan bahawa tidak ada buli. Menurut saksi inilah.
“Saksi ini adalah saksi kejadian pada masa itu. Kita belum lagi mendengar saksi-saksi lain yang mungkin berada di dalam dorm, tapi daripada kenyataan saksi ini ketika rondaan memang tidak ada perkara yang mencurigakan berlaku,” katanya.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dijadual bersambung minggu depan dengan saksi baharu termasuk doktor forensik dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan seorang saksi kanak-kanak. – Info X