PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi penyelenggaraan jalan raya membersihkan segera tanah runtuh yang menjejaskan laluan di Jalan Penampang-Tambunan, di sini, pada Sabtu.
Beliau memberikan arahan itu ketika melakukan tinjauan di lokasi bencana bersama Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Datuk Jannie Lasimbang dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Moyog, Ceasar Mandela Malakun.
Ketika lawatan itu, Ketua Menteri mengarahkan agar kerja-kerja pembersihan dipercepatkan dan dilakukan 24 jam, selain menambah jentera bagi memastikan laluan yang terjejas dapat dibuka sepenuhnya dalam tempoh dua hari.

“Kita mahu supaya kerja pembersihan runtuhan dipercepatkan dan kalau boleh disiapkan dalam tempoh dua hari supaya kedua-dua lorong dapat digunakan sepenuhnya demi keselamatan dan kelancaran pengguna,” katanya.
Ketika ini satu lorong sudah dibuka kepada lalu lintas di beberapa bahagian jalan raya selepas pihak konsesi membersihkan sebahagian sisa runtuhan yang menghalang jalan raya.
Sementara itu, Hajiji turut mengucapkan takziah kepada mangsa tanah runtuh yang terkorban akibat bencana berkenaan, semalam.

Katanya, kerajaan akan menyalurkan bantuan khairat kematian dan membina semula kediaman keluarga yang terjejas.
“Semoga usaha ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa dan memastikan laluan penting ini kembali selamat digunakan oleh rakyat,” katanya.
Dalam kejadian semalam, seorang warga emas meninggal dunia selepas sebuah rumah dua tingkat separuh kekal di Kampung Sarapung ditimbus tanah runtuh.
Seorang lagi mangsa berjaya diselamatkan orang awam dalam keadaan cedera ringan. – Info X