Search

Curahan hujan tinggi punca banjir, tanah runtuh di Penampang

September 13, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Hujan lebat berterusan dengan curahan tertinggi 23.4 milimeter (mm) dalam tempoh 15 minit dan 82.5 mm sehari pada 11 September lalu punca utama tanah runtuh dan banjir yang menjejaskan Jalan Penampang – Tambunan dan sebahagian kampung, di sini, sejak Khamis lalu.

Perkara itu berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman Public InfoBanjir.

Curahan hujan yang tinggi dan berterusan selama tiga hari berturut-turut menyebabkan cerun di kawasan terbabit menjadi tidak stabil sehingga berlaku runtuhan besar.

Sementara itu, JKR Sabah memaklumkan setakat jam 12 tengah hari tadi, beberapa lokasi di Jalan Kota Kinabalu – Keningau – Tenom masih terjejas akibat banjir dan tanah runtuh.

Bagaimanapun, jabatan itu melaporkan kebanyakan laluan sudah boleh dilalui dengan kawalan satu lorong, sementara kerja pembersihan sedang giat dijalankan.

Dalam pada itu, berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, setakat jam 8 pagi, 13 September, seramai 437 mangsa daripada 128 keluarga masih ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Beaufort, Penampang dan Tawau.

Di Beaufort, 154 mangsa daripada 53 keluarga kini ditempatkan di PPS Selagon, manakala di Penampang, seramai 224 mangsa daripada 64 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu Kompleks Sukan Penampang (39 orang), SK St Paul Kolopis (43 orang) dan Dewan Huguan Siou (142 orang).

Di Tawau, 59 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di PPS Masjid Al-Aman selepas bencana kebakaran. Secara keseluruhan, 23 kampung terjejas, dengan catatan satu kematian akibat bencana.

Hari ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut meninjau kawasan terjejas tanah runtuh dan banjir di Kampung Pogunon, di sini.

Beliau yang baru tiba dari Kuching selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 bersama Perdana Menteri dan Premier Sarawak , terus ke lokasi tanah runtuh bersama Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick; ADUN Kapayan, Datuk Jannie Lasimbang dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Moyog, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Hajiji mengarahkan JKR Sabah, syarikat konsesi serta agensi berkaitan untuk menambah jentera dan bekerja 24 jam bagi memastikan laluan dua hala dapat dibuka semula dalam tempoh terdekat.

Beliau turut mengarahkan Sabah Electricity menyambung segera bekalan elektrik yang putus akibat bencana, manakala Jabatan Air dan syarikat konsesinya, Jetama Sdn Bhd diarah memastikan bekalan air bersih kembali normal di kawasan terjejas.

Katanya, semua usaha bantuan pula akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyalurkan bantuan sewajarnya kepada mangsa yang terkesan akibat bencana.

Dalam pada itu, Hajiji turut menzahirkan rasa sedih dan simpati kepada keluarga mangsa tragedi tanah runtuh yang mengakibatkan kematian apabila sebuah rumah tertimbus.

Beliau memberi jaminan Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan ihsan khairat kematian dan sokongan untuk membina semula kediaman keluarga terjejas. – Info X