KOTA KINABALU: Pelajar didakwa melakukan perbuatan berunsur buli di sebuah sekolah di Kinarut, Papar, baru-baru ini diambil tindakan gantung sekolah.
Menerusi satu kenyataan, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin, berkata tindakan tegas itu diambil pihak sekolah berdasarkan peraturan disiplin sedia ada.
“Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mengambil perhatian serius kejadian salah laku buli yang berlaku di sebuah sekolah di Sabah, baru-baru ini.
“Pihak sekolah telah mengambil tindakan serta-merta berdasar kepada peraturan-peraturan disiplin yang sedang berkuat kuasa.
“Hukuman gantung sekolah telah dikenakan kepada pelajar yang terlibat. Di samping itu, pelajar terlibat juga telah dirujuk kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling untuk tujuan intervensi,” katanya.
Beliau berkata, JPNS tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku buli dan akan sentiasa memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid, pelajar, guru dan seluruh warga institusi pendidikan di bawah kelolaannya.
Semalam, ibu seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di Limauan Kinarut, membuat laporan polis kedua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu selepas anaknya ditendang pelajar senior kerana lambat masuk ke bilik asrama.
Kejadian didakwa berlaku pada jam 11 malam 7 September lalu sebelum laporan polis pertama dibuat di IPD Papar pada 9 September lalu.
Peguam mewakili ibu mangsa, Nurshalilah Fauzan Mailin, berkata kejadian dipercayai berunsur buli itu berlaku pada jam 11 malam, 7 September lalu di dalam sekolah berkenaan.
Katanya, mangsa mendakwa ditendang di perut, ditampar pipi dan ditumbuk hidung oleh seorang pelajar tingkatan empat sehingga mengakibatkan kecederaan.
Beliau berkata, sebelum kejadian berkenaan, mangsa juga diminta untuk menggosok baju oleh seorang pelajar tingkatan tiga sekolah tersebut. – Info X