KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan Sabah Electricity (SE) melaporkan perkembangan semasa kepada orang ramai berkaitan kerja pemulihan bekalan selepas sebuah menara elektrik tumbang hingga menjejaskan penyaluran tenaga elektrik ke pantai timur.
Beliau juga meminta syarikat utiliti itu supaya sentiasa memantau situasi di lapangan berhubung kemungkinan berlaku gangguan bekalan elektrik disebabkan keadaan cuaca buruk di Sabah ketika ini.
Arahan itu diberikan Hajiji ketika mesyuarat kecemasan berkaitan gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan kawasan pantai timur disebabkan menara penghantaran elektrik yang tumbang akibat tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang.
Mesyuarat itu diadakan di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya pada Ahad.
Beliau diberi taklimat mengenai situasi itu oleh Ketua Pegawai Operasi SE, Ir Mohd Yusmanizam Mohd Yusof selaku komander krisis yang memantau kerja pemulihan tenaga.
Dalam taklimatnya, Yusmanizam berkata gangguan bekalan berlaku disebabkan sebuah menara penghantaran elektrik 275kV Kolopis – Segaliud tumbang akibat tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang.
Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengarah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Seri Safar Untong dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Datuk Yahya Sulaiman.
Yusmanizam berkata pasukan krisis SE sudah digerakkan dan sedang berada di lapangan untuk menjalankan kerja penyambungan semula talian tenaga Kolopis – Segaliud.
Katanya, jika keadaan cuaca mengizinkan kerja penyambungan semula talian dijangka boleh disiapkan dalam tempoh dua hari.
Beliau turut menjelaskan bahawa aspek keselamatan pasukan krisis juga diutamakan ketika menjalankan kerja pemulihan talian di lokasi terbabit.
Pada Ahad, SE menjelaskan gangguan bekalan elektrik yang berlaku di pantai timur bermula Sabtu disebabkan sebuah menara elektrik yang menyalurkan bekalan ke kawasan berkenaan didapati tumbang di Penampang. – Info X