KOTA KINABALU: Daerah Membakut diisytihar sebagai kawasan terbaharu dilanda bencana banjir berikutan cuaca buruk sejak beberapa hari lalu.
Bencana itu diisytihar Pegawai Daerah, Ibrahim Terki, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Membakut pada jam 8.22 pagi Isnin.
Beliau berkata, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di SMK Bongawan dibuka sebagai lokasi pemindahan mangsa di daerah itu.
“Selaras dengan pandangan dan cadangan daripada Jawatankuasa Bencana Daerah Membakut adalah dengan ini saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Membakut mengisytiharkan bahawa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Bongawan diaktifkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengaktifan PPS itu, katanya setelah pemeriksaan kawasan dan rumah Penduduk Terjejas Bencana (PTB) mendapati tidak selamat untuk didiami.
Berikutan itu, tiga daerah setakat ini dilanda banjir iaitu Beaufort, Penampang dan Bongawan.
Setakat pagi ini seramai 155 mangsa dipindahkan akibat banjir di Beaufort, manakala seramai 201 mangsa masih berada di beberapa PPS di Penampang. – Info X