KOTA KINABALU: Perkhidmatan kereta api Kota Kinabalu-Beaufort dan sebaliknya terjejas berkutan banjir di beberapa lokasi sepanjang laluannya.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) pada pagi Isinin, dua perkhidmatan terpaksa dibatalkan pagi ini.
“Perkhidmatan keretapi pada pagi ini, PS101 dan PU502 tidak dapat beroperasi kerana ada kawasan stesen keretapi dan landasan keretapi yang sudah ditenggelami banjir.
“Penyambungan semula perkhidmatan akan diumumkan setelah landasan yang ditenggelami banjir pulih dan pemeriksaan keselamatan landasan selesai dijalankan,” kata kenyataan itu.
Setakat ini, katanya empat kawasan terjejas iaitu Stesen Kinarut di Pekan Kinarut; Stesen Membakut, Pekan Membakut; Lintasan Rata Awan Pekan Membakut, Pekan Membakut dan landasan kereta api antara Stesen Kawang dan Stesen Papar di KM34.
“Maklumat ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa, dicadangkan penumpang yang ingin tiba ke destinasi lebih awal untuk mencari pengangkutan alternatif yang lain,” katanya. – Info X