Search

Tanah runtuh: 5 mangsa ditemui meninggal dunia

September 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lima daripada tujuh mangsa sekeluarga yang dikhuatiri tertimbus tanah runtuh dalam kejadian dekat Kampung Cenderakasih di Kolombong, dekat sini, ditemui meninggal dunia setakat jam 3 petang ini.

Mangsa pertama dikenali sebagai Husaima Sarabani, 50, ditemui pada jam 12.30 tengah hari tadi, manakala empat lagi mangsa ditemui ketika pencarian pada sebelah petang.

Empat mangsa terbabit, masing-masing dua kanak-kanak adik beradik dikenali sebagai Mohd Ilham Abdullah, 2 dan Siti Khadijah Abdullah, 4, manakala seorang kanak-kanak, Mohd Izzan Gandi, 7 sepupu mereka.

Seorang lagi yang ditemui ialah datuk mereka, Abdul Halid Darak, 50.

Sementara itu, pencarian diteruskan bagi mengesan dua lagi mangsa dua beranak, masing-masing ibu, Maslinah Abdul Halid, 29 dan anaknya, Mohd Noriman Abdullah, 9.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata operasi pencarian disertai seramai 20 anggota bomba dan 30 anggota polis, selain 15 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Katanya mangsa tertimbus antara dua ke tiga meter di bawah runtuhan rumah dan tanah bercampur sampah yang tebal, menyukarkan operasi pencarian.

“Mangsa tertimbus antara dua ke tiga meter dan kita terpaksa menggunakan tenaga manusia untuk menggali di bawah timbunan tanah dan sampah yang dianggarkan antara 20 hingga 30 tan.

“Kita berusaha menjejaki mangsa yang masih hilang sebelum hari gelap dan kita berharap tiada lagi runtuhan baharu di lokasi kejadian,” katanya ditemui di lokasi kejadian.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.02 pagi sebelum jentera sampai kira-kira 20 minit kemudian.

Katanya, seramai 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Lintas dengan sebuah jentera yang diketuai PBK I Wilfred Sulai dikejarkan ke lokasi yang jaraknya kira-kira tiga kilometer.

“Komander operasi melaporkan, setibanya di lokasi memang benar berlaku tanah runtuh yang menghempap sebuah rumah.

“Menurut pemanggil terdapat sembilan orang mangsa tertimbus tapi dua orang mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam.

“Pasukan Bomba sedang menjalankan operasi pencarian. Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Berdasarkan laporan awal, katanya pemanggil melaporkan satu kejadian tanah runtuh berlaku dengan sebuah rumah runtuh.

Akibat kejadian itu, katanya sembilan mangsa tertimbus tetapi dua mangsa dilaporkan dapat dkeluarkan orang awam, manakala tujuh lagi dalam operasi pencarian. – Info X