KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri memutuskan untuk membatalkan sambutan Hari Malaysia, esok untuk memberi tumpuan kepada usaha mengurus krisis bencana.
Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Hajiji berkata pembatalan sambutan itu sudah dimaklumkan kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman.
Pembatalan itu, katanya berikutan krisis bencana akibat hujan berterusan yang menjejaskan sekurang-kurangnya tujuh daerah di Sabah.
“Keutamaan segera kerajaan negeri adalah untuk mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan dan memastikan operasi menyelamat dilaksanakan dengan pantas bagi komuniti yang terjejas.
“Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat adalah paling utama. Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan,” katanya.
Hajiji turut mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) supaya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap sedia untuk tindakan segera berikutan keadaan di lapangan terus berubah susulan cuaca buruk yang berpanjangan.
Katanya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong selaku Pengerusi JPBN juga sudah memanggil mesyuarat dengan pihak yang berkaitan mengenai pemantauan bencana di semua daerah.
Hajiji meminta orang ramai supaya terus berwaspada, mematuhi nasihat keselamatan dan memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat. – Info X