KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, di sini, esok, dibatalkan.
Perkara itu diumumkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew pada Isnin.
Beliau yang juga Pengerusi Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2025 berkata pembatalan itu berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
“Dimaklumkan bahawa susulan keadaan cuaca yang tidak menentu, Sambutan Hari Malaysia 2025 pada 16 September 2025 (Selasa) tidak akan diadakan di Padang Merdeka seperti yang dirancang.
“Diharap orang awam sentiasa menjaga keselamatan diri serta mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi situasi yang di luar jangkaan.
“Segala kesulitan yang timbul amat dikesali,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe meminta sambutan Hari Malaysia tahun ini dibatalkan berikutan bencana alam yang melanda Sabah.
Katanya, tumpuan seharusnya diberikan terhadap usaha membantu mangsa banjir dan tanah runtuh, selain pemulihan kerosakan disebabkan tanah bencana alam itu. – Info X