KOTA KINABALU: Daerah Putatan menjadi daerah kelima diisytihar kawasan bencana banjir dengan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan PPR Sri Keramat bermula jam 10 pagi tadi.
Pengisytiharan itu dibuat Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Putatan, Masawi Salleh berikutan banjir di beberapa kawasan sekitar daerah itu pagi tadi.
“Selaras dengan pandangan dan cadangan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Putatan, adalah dengan ini saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Putatan mengisytiharkan bahawa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan PPR Sri Keramat dibuka pada jam 10 pagi, 15 September 2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pembukaan PPS itu selepas pemeriksaan mendapati kawasan dan rumah Penduduk Terjejas Bencana (PTB) akibat banjir.
“Selaras dengan pemakluman ini, mohon semua agensi yang terlibat bersiap sedia untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Banjir setakat ini diisytihar di Beaufort, Penampang, Membakut, Papar dan Putatan. – Info X