Search

7 hilang, 2 cedera rumah ranap dihempap tanah runtuh di Kolombong

September 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tujuh hilang, manakala dua ditemui cedera selepas sebuah rumah dihuni sembilan sekeluarga dihempap tanah runtuh dekat Kampung Cenderakasih, Kolombong, di sini, pagi ini.

Kejadian dipercayai berlaku sebelum jam 10 pagi tadi berikutan hujan lebat berterusan yang menyebabkan struktur tanah berbukit di kawasan itu menjadi tidak stabil.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah, Mohd Pisar Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.02 pagi sebelum jentera sampai kira-kira 20 minit kemudian.

Katanya, seramai 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Lintas dengan sebuah jentera yang diketuai PBK I Wilfred Sulai dikejarkan ke lokasi yang jaraknya kira-kira tiga kilometer.

“Komander operasi lapor setibanya di lokasi memang benar berlaku tanah runtuh yang telah menghempap rumah.

“Menurut pemanggil terdapat sembilan orang mangsa tertimbus dan dua orang mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam.

“Pasukan Bomba sedang menjalankan operasi pencarian. Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Laporan awal, katanya menyatakan satu kejadian runtuhan tanah berlaku dengan sebuah rumah runtuh

Akibat kejadian itu, katanya sembilan mangsa tertimbus tetapi dua mangsa dilaporkan dapat dkeluarkan orang awam, manakala tujuh lagi masih dalam operasi pencarian.

“Mangsa pertama yang dikenali sebagai Abdullah dihantar ke Hospital Likas. Dia cedera di bahagian paha kiri.

“Rawatan awal juga diberikan oleh anggota EMRS bomba (pasukan rawatan kecemasan) dengan memasang lower limb pada mangsa kerana dikuatiri patah tulang paha kiri,” katanya. – Info X