Search

Selepas 18 jam pencarian, kanak-kanak perempuan ditemui tertimbus

September 16, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Hancur luluh hati keluarga apabila seorang kanak-kanak perempuan ditemui maut selepas hampir 18 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan, sekali gus menyusul pemergian ibu dan adik lelakinya dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Marahang Tuntul, Gana, di sini, semalam.

Mangsa, Kemiey Asphereynda Benny, 10, yang juga korban terakhir, ditemui pada jam 8.45 malam sebelum berjaya dikeluarkan sepenuhnya pada jam 1.48 pagi tadi.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi.

Terdahulu, ibu mangsa, Wong Moi Ling, 34, dan adiknya, Christen Kell Benny, 6, ditemui lebih awal masing-masing pada jam 4.20 petang dan 4.25 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.20 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, didapati tanah runtuh menghempap sebuah rumah dengan tiga mangsa dilaporkan tertimbus. Mangsa pertama ditemui jam 4.20 petang.

“Seterusnya mangsa kedua lima minit kemudian, manakala mangsa ketiga ditemui pada jam 8.45 malam sebelum berjaya dikeluarkan jam 1.48 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi mengeluarkan mangsa dijalankan oleh pasukan bomba dengan bantuan agensi penyelamat lain, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela.

“Semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.05 pagi,” katanya.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi semalam, rumah keluarga berkenaan ranap ditimpa tanah runtuh menyebabkan tiga beranak itu tertimbus di bawah runtuhan. – Info X