Search

Kes pelajar ditumbuk senior perlu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan – peguam

September 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peguam ibu pelajar tingkatan dua yang ditumbuk pelajar senior di sebuah asrama sekolah di Kinarut, baru-baru ini mahu pihak polis menyiasat dua laporan mengenai kes itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Nurshalilah Fauzan Mailin, berkata tindakan itu adalah mengikut Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli institusi pendidikan yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan bermula 3 November 2023.

Katanya, tindakan gantung sekolah yang diambil terhadap pelajar terbabit seperti dijelaskan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) bertentangan dengan garis panduan berkenaan.

“Saya merujuk kepada kenyataan rasmi JPNS bertarikh 14 September 2025 yang memaklumkan bahawa pelajar yang terlibat dengan tindakan buli di atas telah dihukum gantung sekolah oleh pihak sekolah.

“Saya menyatakan tindakan hukuman tersebut adalah bercanggah dengan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bermula 3 November 2023.

“Menurut tatacara pengendalian kes salah laku buli yang dinyatakan dalam garis panduan di atas yang mana kes telah dilaporkan kepada polis, tiada tindakan disiplin boleh dikenakan kepada pelajar di atas semasa proses siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, anak guam pihaknya membuat laporan polis pertama pada 9 September 2025 di IPD Papar, disusuli laporan polis kedua pada 13 September 2025 di IPD Kota Kinabalu.

Secara asasnya, beliau berkata tindakan pelajar terbabit perlu disiasat di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Oleh itu, saya menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dua laporan polis tersebut di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan dan saya berharap agar JPNS mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan terhadapnya berkaitan buli,” katanya.

Sebelum ini, ibu pelajar terbabit membuat laporan polis di IPD Papar dan Kota Kinabalu selepas anaknya mendakwa ditendang di perut, ditampar pipi dan ditumbuk hidung kerana lewat masuk ke asrama dalam kejadian pada jam 11 malam, 7 September lalu. – Info X