Search

Dua bot nelayan Vietnam ditahan, rampasan hampir RM6 juta

September 16, 2025

Info X Reporters

KUDAT: Dua bot nelayan asing Vietnam bersama hasil laut dan peralatan menangkap ikan bernilai hampir RM6 juta berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas dikesan menceroboh perairan negara, semalam.

Dalam operasi bersepadu itu di perairan Barat Laut Pulau Straggler, di sini, seramai 11 kru termasuk tekong berusia antara 17 hingga 48 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, semua kru terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua vesel nelayan asing (VNAV) berkenaan melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.

“Semua mereka ditahan bersama dua vesel, peralatan menangkap ikan dan hasil laut dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan hampir RM6 juta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dua bot nelayan asing Vietnam ditahan di perairan Kudat.

Menurutnya, kedua-dua bot terbabit mengambil masa hampir 12 jam untuk diiringi masuk ke Jeti Tahanan Vesel Zon Maritim Kudat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM bagi siasatan lanjut.

Hasbullah menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pencerobohan nelayan asing kerana ia bukan sahaja menjejaskan sumber perikanan negara malah mengakibatkan kerugian besar kepada nelayan tempatan.

Katanya, orang awam khususnya komuniti maritim digesa menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan kepada Pusat Operasi Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil. – Info X