Search

Inkues kematian Zara: Ram lawat kubur Zara, mohon petunjuk kebenaran

September 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peguam Datuk Ram Singh, semalam melawat kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir bagi mendapatkan petunjuk kebenaran mengenai apa yang berlaku terhadap arwah sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu.

Katanya, beliau terdetik menziarahi kubur arwah untuk berdoa dan memohon petunjuk selepas lawatan ke lokasi kejadian untuk melihat kemungkinan situasi dihadapi arwah ketika prosiding locus in quo di asrama sekolah arwah pada 11 September lalu.

Ram berkata, beliau meminta izin kepada penjaga kubur untuk menziarahi kubur arwah di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Kampung Mesapol Lama, Sipitang dan bertanya kepada beberapa individu mengenai hal berkaitan.

“Saya pergi sana sebab saya rasa macam kebenaran itu, macam there’s something missing (ada sesuatu yang kurang). Lepas itu pergi sana untuk tengok kubur and basically (secara asasnya) saya minta izin, sebelum saya soal yang lain-lain, minta izin untuk cari kebenaran.

“Sebab selepas locus in quo hari itu, yang tempat kejadian semua itu, saya rasa macam ada sesuatu orang semua tidak tahu, iaitu apa sebab dia lompat, seperti dijelaskan Pakar Patologi, Dr Jessie Hiu, arwah dipercayai lompat berdasarkan kecederaan yang dialaminya.

“Semua orang tidak tahu atau sama ada mereka tahu, tapi tidak mahu cakap, seperti Dr Jessie kata terpulang kepada Mahkamah Koroner untuk membuat keputusan sama ada ia adalah suicide (bunuh diri) atau bukan, semua orang mengelakkan soalan itu.

“Itu adalah persoalan netizen, seperti lompatan atau diari itu macam ada kaitan hingga timbul spekulasi. Jadi timbul persoalan netizen kenapa dia boleh buat begitu sebagai seorang budak. Ini semua dari netizen yang cakap.

“Bagi saya, memang ada kecuaianlah, ada kecuaian dari sekolahkah atau pihak lain, something like that (sesuatu yang macam itu).

“That’s why (sebab itu) saya pergi sana (ziarah kubur arwah), saya rasa saya mahu doa, selain daripada doa, saya mahu minta satu petunjuk kebenaran, apa sebabnya, mungkin akan ada petunjuk dari situ,” katanya.

Ram bersama rakannya menziarahi kubur Allahyarham Zara Qairina di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama, Sipitang.

Ram bersama rakan rapatnya bertolak ke Sipitang awal pagi semalam (Isnin) untuk menziarahi kubur arwah Zara dan disambut beberapa rakan di Sipitang yang membawa mereka ke tanah perkuburan arwah.

Beliau berkata, sebagai pengamal undang-undang, beliau tahu dari segi guaman, legal practice (amalan undang-undang) dan legal experience (pengalaman undang-undang), mesti ada sebab atas apa yang berlaku.

“Kalau yang ditanya netizen, persoalan sama ada tulisan dalam diari itu benar-benar milik arwah Zara masih bermain di fikiran, meskipun pakar dokumen sudah memberi keterangan. Begitu juga dengan persoalan mengapa arwah ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang pada awal pagi, yang terus menjadi tanda tanya netizen. Kedua-dua isu ini, diari dan keadaan arwah Zara ketika ditemui, tetap mengundang minat ramai yang mahukan satu kebenaran,” katanya.

Mengenai perjalanannya ke kubur arwah, Ram berkata mereka meredah hujan lebat selain cuaca mendung sepanjang perjalanan dari Kota Kinabalu pada jam 7 pagi termasuk mengharungi banjir di laluan Kampung Bukau, Beaufort.

Bagaimanapun, katanya selepas melepasi kawasan banjir di Kampung Bukau, cuaca berubah menjadi cerah hingga ke Sipitang dan di kawasan tanah perkuburan arwah Zara.

“Apabila sampai di kubur arwah, cerah, betul-betul cerah. Dalam perjalanan mendung, hujan, tapi sesudah melepasi Kampung Bukau yang banjir itu, cuaca cerah pula, semua cerah.

“Pergi kubur semua cerah, pergi Sipitang cerah, lepas itu dalam perjalanan balik apabila tiba dekat Kampung Bukau, hujan lagi balik. Jadi kami rasa selamatlah. Walaupun banjir di Bukau, kami tetap teruskan perjalanan,” katanya.

Ram bersama rakan guamannya yang mewakili seorang daripada lima tertuduh kanak-kanak yang berdepan pertuduhan buli di Mahkamah Kanak-Kanak adalah antara pihak berkepentingan dalam inkues kematian arwah Zara di Mahkamah Koroner.

Prosiding inkues setakat ini sudah memanggil enam saksi bermula dengan Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, pakar tulisan tangan Jabatan Kimia, pegawai perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE, polis hingga pengawal keselamatan asrama arwah Zara.

Inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dijadual bersambung lagi esok dengan seorang doktor forensik dan Ketua Warden asrama, selain kanak-kanak dijangka sebagai saksi baharu yang akan dipanggil. – Info X