Search

Kakitangan Sabah Electricity dikhuatiri lemas dihanyut arus deras

September 17, 2025

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi jambatan yang dilanda banjir di Kampung Nuntunan Apin-apin, malam tadi.

Difahamkan, mangsa lelaki berusia 30-an bersama dua rakannya sebelum itu melakukan kerja-kerja di pencawang berhampiran jambatan gantung.

Mereka kemudian cuba melintas jambatan simen di kawasan berkenaan, namun arus deras sehingga menyebabkan ketiga-tiganya panik.

Dua mangsa berjaya keluar ke tebing, manakala seorang lagi sempat berpaut pada tali sebelum terlepas dan dihanyutkan arus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Severinus@Mohd Nidzam Sainkui, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.57 malam.

Katanya, pasukan bomba dengan kekuatan sembilan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung.

“Dua mangsa berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi gagal ditemui. Pencarian ditumpukan di tebing sungai kerana keadaan arus sangat deras,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Sehingga jam 11.30 malam tadi, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR diteruskan. – Info X