KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) menangguhkan program Gelombang Biru yang dijadual pada 21 September ini berikutan bencana alam yang menjejaskan ramai mangsa dan kawasan di negeri ini.
Menerusi satu kenyataan, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata keputusan itu atas faktor kemanusiaan.
“Hari ini, kita berdiri bukan sebagai parti politik, tetapi sebagai manusia. UMNO BN Sabah dengan ini membatalkan program Gelombang Biru yang dijadualkan pada 21 September 2025 dan ditangguhkan ke satu tarikh lain yang akan ditentukan kelak.
“Keputusan ini lahir daripada hati nurani. Kita tidak mungkin meraikan perhimpunan politik di saat rakyat kita sendiri sedang meratap kehilangan orang tersayang akibat tragedi tanah runtuh semalam, selain ribuan lagi yang kini terjejas oleh banjir di seluruh negeri,” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban.
“Kesedihan mereka adalah kesedihan kita bersama. Dalam saat ini, kita tidak melihat mereka sebagai pengundi atau penyokong mana-mana parti, mereka adalah saudara kita, keluarga kita, darah daging Sabah.
“Politik boleh menunggu tetapi ketika ada anak kecil tidur dalam kesejukan pusat pemindahan, ketika ada seorang ibu kehilangan tempat berteduh, ketika ada sebuah keluarga menangisi jasad yang baru dikebumikan di situlah seluruh tenaga kita mesti digerakkan,” katanya.
Ahli Parlimen Libaran itu berkata, berikutan itu seluruh jentera BN Sabah digerakkan sepenuhnya ke lapangan.
“Tugas kita kini ialah menghulur tangan, membawa bantuan, memeluk dengan doa, dan memastikan rakyat tidak dibiarkan sendirian menghadapi derita ini.
“Gelombang Biru akan kembali tetapi hari ini, biarlah kita bersama-sama mencipta Gelombang Kemanusiaan sebuah gelombang yang lebih besar daripada politik, iaitu gelombang kasih sayang, solidariti, dan pengorbanan untuk rakyat Sabah,” katanya.
Setakat pagi ini, seramai 2,897 mangsa banjir dan tanah runtuh dipindahkan ke 23 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah terjejas iaitu Beaufort, Penampang, Membakut, Papar, Putatan. – Info X